Wednesday 25 February 2015

1 Penubuhan Kerajaan

    
1.1SEJARAH PENUBUHAN




Sejarah Penubuhan Malaysia bermula pada 27 Mei 1961, apabila Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengumumkan di Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura mengenai rancangan untuk mengabungkan Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak didalam satu kerjasama Politik. Antara tujuan utamanya adalah untuk membendung pengaruh Komunis, mengimbangi jumlah penduduk, meningkatkan kemajuan ekonomi dan mempercepatkan proses kemerdekaan bagi negeri-negeri terbabit.


      Kesultanan Brunei yang pada mulanya menyatakan hasrat menyertai Malaysia menarik diri akibat tentangan sebahagian masyarakat Brunei. Pada awal penubuhan Malaysia, banyak perkara berlaku misalnya cubaan Indonesia menakluk Malaysia dan tuntutan Filipina terhadap Sabah. Selain itu, pada 1965, Singapura menarik diri daripada Malaysia.


     Pada 23 Julai 1961. semasa Mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel Cawangan Tanah Melayu dan Borneo di Singapura, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia ditubuhkan dan dipengerusikan oleh Donald Stephen. Antara tujuan Jawatankuasa ini dibentuk adalah untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei. Mesyuarat pertama diadakan di Sabah pada Ogos 1961, seterusnya di Kuching, Sarawak pada 18-20 Disember 1961 dan di Kuala Lumpur pada 6-7 Januari 1962. Mesyuarat terakhir telah diadakan di Singapura pada 3-4 Februari 1962.


   Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan pada 17 Januari 1962 yang di anggotai oleh lima orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England, ahli-ahlinya terdiri daripada Dato’ Wong Pow Nee dan Encik Mohd Ghazali bin Shafie, sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, manakala Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, wakil kepada kerajaan British. Tujuan penubuhan Suruhanjaya ini adalah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak tentang gagasan Malaysia.


    Pada 3-4 Februari 1962, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia bersetuju untuk mengemukakan memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold supaya dibuat tinjauan mengenai pandangan penduduk di Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia. Selain itu, memorandum itu juga bersetuju supaya perlembagaan Tanah Melayu dijadikan asas kepada perlembagaan Malaysia, perlunya ada sebuah kerajaan Persekutuan yang kuat dan berkuasa dalam hubungan luar, pertahanan dan keselamatan juga mengenai agama Islam diterima sebagai agama rasmi.

    

Upacara pengisytiharan kemerdekaan Malaysia.


   Pada 21 Jun 1962, Laporan Suruhanjaya Cobbold telah disiapkan dan dikemukakan kepada kerajaan British dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Laporan itu turut memuatkan cadangan-cadangan daripada ahli-ahli Suruhanjaya berhubung beberapa perkara yang dinyatakan melalui memorandum-memorandum yang diterimanya. Tunku Abdul Rahman Putra telah membentuk sebuah Jawatankuasa untuk mengkaji laporan itu yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri dan anggota-anggota yang lain terdiri dari Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri), Tan Siew Sin (Menteri Kewangan), Datuk (Dr) Ismail Dato’ Abdul Rahman (Menteri Keselamatan Dalam Negeri) dan Datuk V.T. Sambanthan (Menteri Kerja Raya dan Telekom). 
    

    2 Minggu selepas itu, Pada 9 Julai 1963, satu Perjanjian penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London. Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Nama mereka boleh dibaca didalam artikel; Nama Wakil Perjanjian Penubuhan Malaysia. Persetujuan telah diperolehi untuk menubuhkan Malaysia pada 31 Ogos 1963.
Ahli Suruhanjaya Cobbold


      Pada 22 Julai 1963, Gabenor British Terakhir di Sarawak, Sir Alexander Waddell meninggalkan astana Fort Margherita dengan perahu putih menyeberangi Sungai Sarawak. Pada hari itu, bendera Union Jack diturunkan dan bendera Sarawak dinaikkan di menara utama Fort Margherita. Ia merupakan simbolik penyerahan oleh kerajaan British kepada kerajaan Sarawak. Pada hari sama, Sir Alexander mengeluarkan satu proklamasi bagi membentuk Supreme Council baharu dan melantik Pengerusi Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) ketika itu, Datuk Stephen Kalong Ningkam sebagai Ketua Menteri Pertama. Ia juga membawa kepada pembentukan Kabinet Menteri Sarawak yang pertama dianggotai Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Datuk Amar James Wong Kim Min, Datuk Amar Dunstan Endawie, Datuk Awang Hipni Pengiran Anu dan Datuk Teo Kui Seng.


   Pada 31 Ogos 1963, Sir William Goode, Gabenor terakhir Borneo Utara telah meninggalkan Sabah dan mengisytiharkan Borneo Utara membentuk kerajaan sendiri serta memberi kepercayaan penuh kepada Donald Stephens, Ketua menteri Sabah.


   Persediaan rapi telah dibuat untuk menyambut Penubuhan Malaysia pada tahun 31 Ogos 1963. Walau bagaimanapun, penubuhan Malaysia yang dirancang pada tarikh tersebut terpaksa ditangguhkan kerana tentangan yang berterusan dari Filipina dan Indonesia menyebabkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menghantar satu misi ke Borneo pada 1963, yang turut melaporkan bahawa pandangan awam rata-rata menyokong penubuhan Malaysia. Laporan penuh Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu hanya dapat disiapkan pada 14 September 1963. Malaysia akhirnya diisytiharkan pada 16 September 1963.


    Upacara pengisytiharan Malaysia telah diadakan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur pada 16 September 1963. Upacara itu telah dihadiri oleh SPB Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Upacara ini juga dihadiri oleh anggota kabinet, diplomat asing di Kuala Lumpur serta jemputan khas.


    Pengisytiharan penubuhan Malaysia telah dibacakan oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra di hadapan lebih kurang 30,000 rakyat Malaysia yang turut meraikan hari bersejarah tersebut. Tunku kemudiannya melaungkan “Merdeka” sebanyak tujuh kali diselang seli dengan laungan oleh rakyat yang hadir. Upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Ahmad bin Mohammad Said.

No comments:

Post a Comment